Lawak Bodoh Berterusan |
Pedas-Pedas Cili Api 122 (11hb Julai 2000)
Bila peristiwa merampas senjata yang agak banyak jumlahnya dilakukan oleh
sekumpulan 15 orang di dua kem askar di Grik baru-baru ini, rakyat berasa
gempar. Peristiwa itu menunjukkan betapa lemahnya sistem pertahanan negara
ini.
Dalam sebuah negara yang lebih bermaruah pemimpinnya, besar kemungkinan
Perdana Menteri atau sekurang-kurangnya Menteri Pertahanan, akan meletakkan
jawatan tanda bertanggungjawab bagi peristiwa yang memalukan itu.
Cili Api memang tahu bahawa di negara ini para pemimpinnya belum sampai ke
tahap itu maruahnya dan belum setinggi itu rasa tanggung jawabnya.
Peristiwa rampasan senjata itu kemudiannya diikuti dengan beberapa hari yang
penuh dengan teka-teki dan kekeliruan. Media massa (yang dikuasai kerajaan
sepenuhnya) lain ceritanya, Menteri Pertahanan lain ceritanya, Ketua Polis
Negara lain lagi ceritanya.
Maka tinggallah rakyat awam dalam keadaan keliru dan tertanya-tanya. PM
sendiri diam seribu bahasa hinggalah selepas mesyuarat MKT UMNO.
Percubaan untuk membahaskan peristiwa yang menggemparkan dan krisis sistem
pertahanan itu di Parlimen, sebagaimana yang telah dijangkakan, telah
dihalang dan digagalkan.
Oleh kerana proses perampasan senjata itu sendiri berlangsung dengan cara
yang amat mudah, maka mulailah tersebar khabar-khabar angin bahawa
perampasan tersebut telah dirancang dari dalam dan dengan restu pihak
yang berkuasa.
Oleh kerana perebutan kuasa serta tikam-menikam dari belakang memang menjadi
mainan seharian orang UMNO, maka ada yang menganggap sandiwara itu sebagai
satu lagi permainan para pemimpin UMNO untuk menjatuhkan pemimpin tertentu.
Malah laman web yang dikendalikan oleh kumpulan Al-Maunah itu telah
dianalisis oleh beberapa orang yang arif tentang Teknologi Maklumat. Semakin
dianalisis, maka semakin banyak tanda tanya dan keraguan tentang seluruh
peristiwa itu yang timbul.
Di kalangan orang yang ekstrim sikap sinisnya, mulailah kedengaran tuduhan
bahawa peristiwa itu sebenarnya merupakan suatu sandiwara yang didalangi
oleh pihak tertentu dengan tujuan politik. Tetapi bila sandiwara itu tidak
berlangsung menurut skrip yang disediakan oleh beberapa penulis skrip yang
bodoh, maka sandiwara itu segera bertukar menjadi cerita lawak yang lebih
bodoh lagi.
Akhirnya pertunjukan itu terpaksa diberhentikan dengan tergesa-gesa dengan
bilangan mangsa dan korban yang tidak terlalu besar. Menurut pembuat
analisis ekstrim itu, orang yang merencanakan peristiwa itu sudah cukup
desperate mengorbankan dua tiga orang untuk keluar daripada krisis yang
sudah terlanjur itu bukanlah suatu pengorbanan yang terlalu besar.
Cili Api bertanya: Apakah motif di sebalik usaha mendalangi peristiwa yang
begitu berbahaya itu?
Si penganalisis ekstrim itu menjelaskan bahawa tujuannya ialah untuk
menggemparkan dan menakut-nakut rakyat umum. Jika pendekatan itu telah
dilaksanakan sebelum pilihanraya yang lalu dengan siaran rencana-rencana
TV3 dan iklan di akhbar-akhbar arus utama mengapa pula tidak sekarang?
Dengan peristiwa itu pandangan dapat dialihkan daripada krisis kehakiman dan
pendedahan tentang terhadap penyiasatan kerja-kerja BPR. Dengan melibatkan
kumpulan Al-Maunah, orang ramai dapat diingatkan tentang wujudnya unsur
fundamentalisme Islam dan ajaran sesat.
Dengan menakut-nakutkan orang ramai tentang kebangkitan Islam yang melampau,
dapatlah dipertahankan dan disanjung Islam jenis yang diperjuangkan UMNO.
Lebih penting lagi, lawak bodoh yang menghasilkan krisis dan kegemparan itu
dengan mudah dapat dijadikan tanggungjawab parti-parti pembangkang. Bolehlah
mudah bagi Cek Det dan Dollah Badawi menebar luas jala ISA untuk menangkap
tokoh-tokoh alternatif yang tidak disukainya.
Jika dengan lawak bodohnya Che Det boleh menghubungkan krisis disiplin di
kalangan kanak-kanak sekolah dengan parti-parti pembangkang, apakah yang
akan menghalangnya menghubungkan krisis rampasan senjata ini dengan
parti-parti pembangkang juga?
Segala keterangan dan penjelasan Che Det tentang peristiwa rampasan senjata
ini selepas mesyuarat MKT UMNO semalam sebenarnya sama sekali tidak
mengecewakan teman penganalisis ekstrim tersebut. Malah beliau patut
berbangga kerana segala yang telah diramalkannya terjadi dengan setepatnya.
Cili Api ingin tahu, mungkinkah tuduhannya tentang sandiwara lawak bodoh itu
merupakan hasil daya kreatif seorang peramal yang tepat seratus peratus?
Cili Api.
|