Sikap talam dua muka KDN
     

    Sebuah majalah bernama Pesona telah menyiarkan cerita mengenai kegiatan Al-Ma'unah pada keluaran Mac lalu.

    Majalah ini berkonsepkan misteri. Beberapa gambar mengenai kegiatan ahli pertubuhan itu disiarkan. Turut disiarkan wawancara dengan Mohd Amin Mohd Razali yang mengaku memiliki ilmu kebatinan serta mampu bergaul dengan jin.

    Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan tidak menerima laporan mengenai penyelewengan pertubuhan Al- Ma'unah itu. Bahagian pengawasan penerbitan KDN biasanya menegur, menghantar surat amaran atau memanggil pengarang apabila penerbitan mereka menyiarkan berita, rencana atau gambar yang dianggap sensitif terhadap agama, perpaduan, budaya dan adat resam rakyat negara ini.

    Mungkin kali ini Bahagian pengawasan KDN terlupa untuk ambil tindakan ke atas majalah berkenaan kerana terpesona dengan cerita "mahaguru" boleh bergaul dengan jin. Kita agak bimbang kerana penerbitan majalah -majalah berbentuk misteri semakin meningkat di pasaran masa kini. Cerita hantu, cerita jin, cerita syaitan mendapat pasaran.

    Harakah, Detik dan Eksklusif

    Isu yang mahu diketengahkan di sini ialah sikap KDN dalam menangani penerbitan media massa. Akhbar Harakah dulu diterbitkan dua kali seminggu. Kini disekat menjadi dua kali dalam sebulan. Bermacam ugutan, ancaman diterima oleh akhbar berkenaan dari KDN.

    Berkali-kali Pengurus dan Ketua Pengarang Harakah dipanggil oleh KDN. Sekarang ini Ketua Pengarang Harakah, Zulkifli Sulong sedang menghadapi satu tuduhan di mahkamah berhubung penerbitan akhbar tersebut.

    Begitu juga dengan penerbitan-penerbitan lain yang bersikap kritis terhadap kerajaan. Misalnya majalah Detik yang dipimpin oleh Ahmad Lutfi Othman dilarang terbit. Permit tahunan Detik tidak disambung. Dengan perkataan lain Detik diharamkan. Hal yang sama juga dikenakan ke atas akhbar mingguan Esklusif.

    Majalah tahyul, lucah dan kartun rosak

    Tetapi di pihak yang lain majalah-majalah yang bersifat tahyul dengan cerita-cerita misteri dibenarkan terbit tanpa sebarang pengawasan yang wajar. Selain itu, majalah-majalah hiburan yang sesetengahnya memuatkan gambar-gambar lucah terbit bebas tidak diawas. Majalah-majalah kartun yang tidak mendidik sahsiah anak-anak tetapi sebaliknya banyak membawa aliran pemikiran sinikal dan tidak keruan dengan tatabahasa yang rosak kelihatan dibiarkan membiak macam cendawan.

    Semuanya dibiarkan kerana penerbitan-penerbitan sedemikian dianggap tidak mengancam kuasa kerajaan yang memerintah sekarang.

    Majalah-majalah itu tidak membincangkan isu-isu seperti rasuah, kebebasan kehakiman, tidak menyentuh soal demokrasi, keadilan sosial, pemborosan kerajaan dan sebagainya. Sebaliknya ia membawa pembaca ke dunia misteri yang tahyul dan boleh membawa kepada bertentangan dengan akidah agama.

    Sebenarnya, Bahagaian pengawasan penerbitan KDN hanya sensitif dan menumpu kepada penerbitan-penerbitan yang berbau politik.

    JAKIM sibuk hal lain

    Begitu juga halnya dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM). Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin berkata JAKIM tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan majalah atau penerbitan menyiarkan rencana berunsur tahyul dan menyeleweng daripada akidah. Apa yang dikatakan oleh Ketua JAKIM itu memang benar. JAKIM tidak ada kuasa. Yang ada kuasa ialah KDN. Tetapi sekurang-kurangnya JAKIM boleh menghubungi KDN supaya menegur bahan-bahan yang berunsur tahyul dan menyeleweng itu. Tetapi ini tidak dilakukan.

    Sebabnya mudah. JAKIM tak ada masa untuk jaga akidah umat Islam dari diselewengkan oleh penerbitan karut-marut dan tahyul itu. JAKIM lebih utamakan bagaimana hendak menyekat penceramah-penceramah agama yang mengkritik UMNO, parti BN dan pemimpin yang sedang berkuasa. Itu sebenarnya keutamaan JAKIM.

    JAKIM juga sibuk menyenaraikan penceramah-penceramah agama yang mana mesti digam, lalu disekat dari berceramah. JAKIM lebih sibuk dengan kerja menjaga mesjid-mesjid supaya terus dikuasai oleh UMNO, parti yang sedang memerintah. Parti-parti pembangkang, walaupun Parti Islam dilarang berceramah politik di dalam mesjid di negeri-negeri yang UMNO kuasai. Tetapi parti kerajaan iaitu UMNO dibenarkan.

    UMNO lindungi pertubuhan silat kebatinan

    KDN dan JAKIM harus menyedari bahawa pertubuhan silat kebatinan ini bukan Al-Ma'unah saja. Jangan kumpulan ini sahaja yang dikenakan tindakan. Terdapat banyak pertubuhan yang seumpama ini. Pertubuhan-pertubuhan silat banyak tumbuh selepas Peristiwa 13 Mei 1969.

    Kebanyakannya dinaungi oleh pemimpin-pemimpin UMNO sendiri. Bukan rahsia bahawa banyak Menteri Besar, bekas Menteri Besar dan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO menjadi penaung atau penasihat pelbagai kumpulan silat.

    UMNO yang gemar mengamalkan budaya feudal macam raja-raja tradisional juga sering menghiburkan pemimpin besar mereka dengan persembahan silat.

    Mahathir Mohamad dan pemimpin-pemimpin UMNO selalu dihadiahi keris sebagai cendermata. Benarlah keris itu senjata dan lambang kuasa. Tetapi itu lambang dalam konsep budaya feudal. Bukan dalam budaya demokrasi masa kini.

    Dalam soal kebatinan juga, pemimpin-pemimpin UMNO dan ahli UMNO ramai yang terlibat dengan amalan bomoh. Malah beberapa tahun lalu, seorang pemimpin UMNO di Raub, Pahang mati dikerat 18 oleh bomoh.Jadi mencari punca ajaran sesat ini perlu bermula dari dalam diri UMNO itu sendiri.

    Kembali ke Laman Perjuangan