Angkara Al-Ma'unah gerakan Islam difitnah
     

    Di Sauk, Perak banyak durian. Tetapi UMNO dan kerajaan BN yang banyak mendapat durian runtuh dengan apa yang berlaku di Grik dan di Bukit Jenalek. Sejak Parti Islam SeMalaysia, PAS menang besar dalam pilihanraya umum tahun lalu, banyak usaha UMNO dan kerajaan BN untuk memburuk-burukkan parti itu.

    Kumpulan Al-Ma'unah yang terlibat dalam rampasan senjata di Grik dikatakan ingin menubuhkan sebuah negara Islam secara kekerasan. Ini sebenarnya seperti memberi peluru kepada UMNO dan kerajaan BN untuk menyerang PAS. Sebab PAS juga bercakap untuk menubuhkan sebuah pemerintahan Islam. Malah secara realiti dua buah kerajaan negeri di Kelantan dan Trengganu diperintah oleh PAS. Tetapi Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pernah memperlekehkan kejayaan PAS itu dengan berkata bahawa PAS hanya memerintah di peringkat negeri bukan negara, iaitu bukan kerajaan Persekutuan.

    UMNO dan kerajaan BN mahu menjadikan PAS bersikap defensif akibat dari peristiwa rampasan senjata oleh kumpulan Al-Ma'unah ini.

    Sebab UMNO dan kerajaan BN menyedari bahawa PAS merupakan pemimpin de facto dalam Barisan Alternatif. PAS juga merupakan pemimpin dalam gerakan Islam di Malaysia masa kini. Pengaruh PAS telah meluas. Di Parlimen, Presiden PAS telah menjadi Ketua Pembangkang. Dua buah negeri yang disebut tadi susah bagi BN untuk rampas kembali. Satu daripadanya kaya dengan hasil royalti minyak yang hak ke atas royalti itu mahu ditarik balik oleh kerajaan Pusat BN.

    PAS adalah ancaman sebenar kepada UMNO dan kerajaan BN, bukannya kumpulan-kumpulan silat kebatinan seperti Al-Ma'unah.

    Kejayaan PAS sekarang ini bukan diperolehi dengan mudah tanpa usaha dan ikhtiar serta doa. 14 orang pengikut PAS dibunuh oleh pasukan polis di Memali, Kedah adalah bukti keganasan pihak berkuasa atas arahan kerajaan BN yang memerintah. Namun PAS tetap menerima sistem demokrasi yang tidak sempurna di Malaysia ini untuk meneruskan perjuangan politiknya.

    Dari sebuah parti yang dituduh ekstrim, perkauman, radikal dan fundamentalis oleh UMNO, kerajaan BN dan media yang mereka kuasai, PAS telah berjaya sekarang dengan membawa imej yang sederhana, toleren, berjuang secara berperlembagaan dan menerima institusi-institusi kenegaraan yang sedia ada.

    PAS menang di Kelantan dan Trengganu sehingga beroleh hak memerintah bukan menggunakan pedang dan M16 atau rifel pelancar roket. Dia hanya berkempen dan berceramah. Rakyat yang mengundi menyokongnya termasuklah para anggota tentera dan anggota biasa polis. Ini yang UMNO dan kerajaan BN rimas kerana PAS tidak mahu menari mengikut rentak dan gendang yang pemimpin UMNO dan kerajaan BN mainkan. Kalau PAS mudah terikut-ikut macam kumpulan Al-Ma'unah, itulah yang UMNO dan kerajaan BN idam-idamkan. Mudahlah PAS diharamkan.

    Bukan hendak memuji PAS keterlaluan. Sebagai satu parti politik, PAS ada juga kesilapan, kekurangan dan kelemahannya. Tetapi di saat jentera media dan propaganda kerajaan BN sekarang sedang melancarkan serangan ke atas gerakan Islam secara umum dan PAS secara khusus, adalah wajar untuk meletakkan PAS dalam perspektif yang objektif.

    Parti Islam SeMalaysia atau PAS itu telah mendapat sokongan yang agak luas, menang dalam batas-batas tertentu secara demokrasi dalam sistem demokrasi ala-Malaysia yang banyak tidak adilnya terhadap parti-parti pembangkang termasuk PAS itu sendiri.

    Walau tidak adil, PAS masih menang. Ini yang membimbangkan, terutamanya UMNO yang dipimpin oleh Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi.

    PAS telah berjaya mengwujudkan hubungan berbaik-baik dengan DAP yang dituduh oleh UMNO selama ini sebagai parti perkauman Cina yang anti-Islam. Bersama DAP, keADILan dan PRM, PAS akhirnya berjaya bersama-sama membentuk Barisan Alternatif.

    Selepas pilihanraya umum 1999, Barisan Alternatif ini bukan berkubur tetapi semakin aktif dan melakukan proses pemantapan. Ini yang membimbangkan parti UMNO dan BN yang menjadi kerajaan sekarang.

    Usaha UMNO dan kerajaan BN untuk melemahkan PAS semakin susah apabila PAS berusaha keras untuk menonjolkan imej sederhana dan toleransi di Kelantan dan Trengganu yang diperintahnya, terutama terhadap rakyat bukan-Islam. Di samping itu PAS mengadakan banyak dialog dengan pelbagai lapisan masyarakat bukan-Islam. Secara jujur ada kesungguhan di kalangan pimpinan PAS untuk memahami realiti masyrakat pelbagai kaum dan pelbagai agama di Malaysia ini.

    UMNO dan kerajaan BN memandang jauh akan senario politik dalam pilihanraya umum akan datang. PAS yang dipimpin golongan Ulamak yang menerima politik secara berperlembagaan dan pilihanraya yang ada sekarang ini telah menerima ramai kemasukan orang-orang muda, golongan berpelajaran tinggi, intelek, dan profesional.

    UMNO yang menjadi saingan utama parti itu berasa ketinggalan dan mulai resah dan bimbang.

    Sikap hormat PAS terhadap undang-undang yang ada dan perlembagaan Persekutuan dapat dilihat dalam isu Rang Undang-Undang Hudud yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan negeri Kelantan tetapi tidak dilaksanakan.

    Perlaksanaan itu ditangguhkan kerana berlakunya percanggahan bidang kuasa menurut Perlembagaan Persekutuan. PAS ternyata tidak senang dengan halangan itu. Tetapi setakat ini ia akur dan menyedari selagi PAS tidak menguasai kerajaan Persekutuan, usaha ke arah pelaksanaan undang-undang Islam itu sukar untuk dilakukan.

    Jadi imej sebuah pemerintah Islam oleh PAS tentu sekali berbeza dengan apa yang dilakukan oleh kumpulan Al-Ma'unah.

    Jihad Islam yang sebenar tentu tidak bersikap zalim terhadap orang tebusan yang ditahan seperti yang dilakukan oleh kumpulan silat-kebatinanan Al-Ma'unah itu. Tindakan membunuh dengan kejam bukan kerja pejuang Islam. Ia adalah tindakan penjenayah dan pengganas yang dikutuk oleh Islam.

    Adalah satu tindakan bijak pimpinan PAS yang tangkas menjauhkan dirinya dari dikait-kaitkan dengan pertubuhan silat kebatinan seperti Al-Ma'unah itu. Gerakan Islam yang sebenar tidak akan mencampuradukkan amalan kebatinan yang sesat dan syirik dengan ketaqwaan dan tauhid kepada Allah.

    Selain itu, Jihad Islam ke arah keadilan dan menentang kezaliman tentu tidak berjuang dan berjihad sekadar tiga hari saja apabila terkepung di bukit. Bukanlah jihad namanya, jika lemah lutut dan lemah semangat apabila mendengar suara anak dan isteri merayu-rayu suruh pulang dan insaf.

    Kumpulan Al-Ma'unah itu mungkin benar merompak senjata. Mungkin segala episod di Grik dan Bukit Jenalek di Sauk itu benar-benar realiti bukannya lakonan.

    Tetapi banyak benar benda-benda yang pelik-pelik yang menimbulkan pelbagai soalan yang kadang-kadang semacam mendorong percaya bahawa ini semua kerja terancang yang sengaja dilakonkan.

    Mungkin fikiran seperti ini satu khayalan. Mungkin. Tetapi awas. Badan-badan inteligen seperti CIA (Amerika Syarikat), KGV (Rusia), Mosad (Israel), MI5, MI6 (Britain) banyak kali dalam sejarah Perang Dingin dulu hingga sekarang ini pernah melakukan babak-babak lakonan yang sengaja dicetuskan untuk memerangkap dan menyerang musuh-musuh politiknya.

    Tetapi yang jelas, kumpulan Al-Mau'nah ini telah memberi nama buruk kepada gerakan Islam yang sebenar.

    Namun begitu, secara cepat menuduh kumpulan itu sesat dan menahan ahli-ahlinya dengan ISA tidak banyak membantu untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih menyeluruh.

    Soalannya mengapa mereka menjadi `sesat'? Mengapa terdapat ramai golongan berpendidikan tinggi yang terdiri daripada kalangan profesional, termasuk pensyarah, juruteknik, jurutera, dan pegawai tinggi angkatan tentera dan bekas tentera terlibat sama di dalam gerakan seperti Al-Ma'unah itu yang sanggup mengangkat senjata untuk menentang kerajaan BN yang ada sekarang dan seterusnya mahu menubuhkan sebuah negara Islam secara kekerasan dan menyeru melancarkan jihad?

    Ini soalan yang relevan.

    Tentu ada sebabnya. Jangan UMNO dan kerajaan BN cepat menuding jari kepada orang lain. Lihat apa yang sendiri telah lakukan selama ini apabila memerintah negara ini. Tidak menghairankan jika ada pihak-pihak di Malaysia ini yang sudah tidak tahan lagi dengan pelbagai kezaliman, ketidakadilan, dan keganasan yang dilakukan oleh kerajaan BN yang berkuasa terhadap para pengkritik dan penentangnya.

    • Undang-undang ISA yang zalim dan pelbagai undang-undang lain yang tidak adil sedang berkuatkuasa di negara ini. Anwar Ibrahim diseksa dan dipenjara.

    • Gerakan reformasi dihancurkan dengan ganas oleh polis.

    • Ruang bersuara ditekan. Media seperti Harakah disekat-sekat. Banyak majalah dibatalkan permitnya.

    • Ceramah-ceramah umum dihalang dengan cara tidak diberi permit. Rapat-rapat umum diharamkan sama sekali.

    • Para ulamak yang bersikap kritis terhadap kerajaan digam dan dilarang ceramah mereka.

    • Pilihanraya berjalan secara berat sebelah dan tidak adil. Demokrasi semakin sempit.

    • Suruhanjaya Pilihanraya bersikap berat sebelah dan tidak telus.

    • Badan Pencegah Rasuah jadi badan tidak bebas dikawal oleh Perdana Menteri.

    • Mahkamah tidak lagi adil. Hakim-hakim sendiri ada yang rasuah dan menjadi alat kerajaan yang memerintah.

    Lalu apa jadi?

    Mungkin sesetengah pihak mengambil jalan singkat. Mereka menolak sistem demokrasi Malaysia yang tidak adil. Mereka menolak Perlembagaan. Lalu mereka memilih perjuangan bersenjata.

    Jadi silap siapa?

    Seperti sejarah membuktikan, perjuangan bersenjata tanpa ideologi yang betul, tanpa pimpinan politik yang waras, rasional serta bertanggungjawab akan mudah terjerumus kepada tindakan jenayah, zalim, tidak berperikemanusiaan dan akhirnya menjadi pengganas.

    Inilah mungkin yang berlaku kepada kumpulan seperti Al-Ma'unah. Mereka melaungkan slogan Jihad Islam tetapi dalam masa yang sama mereka sebenarnya merosakkan perjuangan Islam yang sebenar.

    Dalam hubungan ini, kita tidak harus lupa akan agenda pemimpin UMNO dan kerajaan BN untuk menggugurkan nama Islam dari PAS. Jadi episod ganas kumpulan Al-Mau'nah memberi kesempatan kepada UMNO dan kerajaan BN untuk menangguk di air keruh dari peristiwa di Sauk dan di Grik.

    Kembali ke Laman Perjuangan