Beranikah KP Jakim tegur Astora Jabat?
     

    Oleh Pena Suasa

    Beranikah KP Jakim tegur Astora Jabat?

    KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM), Dato' Zainal Abidin Abdul Hamid berkata jabatan itu tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan majalah atau penerbitan menyiarkan rencana berunsur tahyul dan menyeleweng daripada akidah.

    Dia merujuk kepada sebuah majalah misteri bernama PESONA yang menyiarkan temubual dengan Ketua Kumpulan Al-Ma'unah, Mohd Amin Mohd Razali yang mendakwa berdebat dengan sekumpulan jin mengenai agama sehingga jin itu mengaku kalah dan memeluk Islam.

    Mari kita bertanya dengan Dato' Zainal Abidin apakah jabatan dia juga tidak ada kuasa untuk menasihatkan atau mengarahkan Mingguan Malaysia daripada membenarkan seorang bernama Astora Jabat daripada mengelolakan ruangan agama?

    Kita semua tahu Dato' Zainal Abidin seorang pengampu maha dahsyat di negara ini. Dia akan menjadikan apa sahaja pembangunan di Malaysia sebagai contoh terbaik kerajaan pimpinan Dr. Mahathir tetapi dalam masa yang kita juga tahu Dato' Zainal Abidin mempunyai kelulusan agama yang tinggi. Mengapa tidak orang-orang seperti Dato' Zainal Abidin yang mengelolakan ruangan agama di akhbar itu dan bukan Astora Jabat. Astora boleh jadi pemberita semula, melaporkan berita sukan, atau hiburan atau jenayah atau berita am. Usahlah jadi pengelola ruangan agama kerana ia cukup merosakkan. Sudahlah… cukup-cukuplah.

    Ingat, kerosakan yang dibuat oleh Astora Jabat lebih dahsyat sebenarnya dari keganasan yang dilakukan sekumpulan manusia di Grik baru-baru ini. Cuma, di Grik, mereka mempunyai senjata tetapi Astora mempunyai pena. Bagi yang tahu, mereka akan menolak tulisannya itu tetapi bagi yang tidak tahu, mereka akan percaya.

    Saya tahu guru agama Astora Jabat ialah Zainuddin Maidin. Zainuddin mengaku dirinya sebagai penganut Islam moden. Dialah orangnya yang pernah menggelarkan Ustaz Fadzil Nor dan Ustaz Abdul Hadi Awang sebagai "nabi Fadzil dan nabi Hadi" hingga menyebabkan kedua-dua pemimpin ini mengambil tindakan mahkamah ke atasnya.

    Di sinilah peranan Dato' Zainal Abidin yang wajar. Jika dia boleh menasihatkan akhbar itu supaya memberhentikan ruangan tersebut, atau digantikan pengelolanya, dosanya ketika kena boo kerana berkhutbah dengan kata-kata mengampu di Mimbar Masjid Negara boleh diampunkan oleh umat Islam.

    Tugas ini berat kerana Zainuddin Maidin adalah penasihat agama dan penasihat media kepada Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad. Kalau Dato' Zainal Abidin boleh menasihatkan akhbar ini, bermakna Dato' Zainal Abidin dapat menyelamatkan bukan sedikit akidah umat Islam yang mungkin rosak akibat mengikuti tulisan Astora ini.

    Orang ramai bersetuju jika beliau juga mampu menasihatkan pengarang majalah tahyul supaya tidak menerbitkan bahan-bahan yang seperti itu tetapi sama ada orang ramai bersetuju atau tidak, penyelewengan akidah yang sedang dibawa oleh Astora Jabat perlu dihentikan serta-merta. Orang ramai percaya, jika kumpulan Al-Arqam boleh diserang oleh Dato' Zainal Abidin, apalah yang ada pada Zainuddin Maidin dan Astora Jabat yang sudah melampau dan mempermain-mainkan agama Islam.

    Tidak tahulah jika di belakang Zainuddin Maidin dan Astora Jabat sebenarnya adalah Dr. Mahathir Mohamad yang "memainkan peranan" di belakang tabir. Sudah tentu Dato' Zainal Abidin pegampu besar ini tidak akan mampu berbuat apa-apa kecuali menunggu anugerah gelaran "Tan Sri" jika direkomenkan oleh Dr. Mahathir.

    Kembali ke Laman Perjuangan