-
Kebebasan bersuara merupakan antara hak asasi yang dijamin oleh
perlembagaan negara seperti yang diabadikan dalam Perlembagaan
Malaysia Fasal 10. Hak ini merupakan suatu kurniaan Allah yang
digunapakai oleh setiap bangsa yang bertamadun. Dalam batas-batas yang
diterima sebagai satu konvensyen, hak bersuara merupakan saluran bagi
manusia menyampai dan menerima maklumat bagi memajukan umat manusia.
Perkembangan dan kemajuan intelek rakyat di negara-negara yang
menghormati hak bersuara ini jelas dapat dilihat di negara maju
sementara negara yang menghadkan kebebasan bersuara ternyata mundur
dari segi perkembangan minda rakyatnya.
-
Amalan kebebasan bersuara telah sama kita nikmati sejak merdeka dalam
darjah kebebasan yang berbeda-beda. Zaman pemerintahan Perdana Menteri
pertama memberikan kebebasan untuk berhimpun dalam rapat-rapat umum.
Kebebasan ini memberikan peluang kepada kumpulan minoriti dan
pembangkang menyampaikan mesej mereka kepada masyarakat. Selepas
peristiwa 13 Mei 1969, rapat umum diharamkan, tetapi ceramah umum
masih diizinkan. Dalam keterbatasan ini, pihak pembangkang masih boleh,
walaupun dengan bersusah payah, berdepan dengan masyarakat, dan kita
memanfaatkan hak ini bagi membantu pembinaan negara.
-
Selepas pilihanraya ke 10 pada November
1999 yang melihatkan pencapaian luar dugaan parti Barisan Alternatif,
kerajaan Barisan Nasional mengambil sikap yang negatif dengan
memutuskan sebahagian saluran perhubungan dan maklumat dari Parti BA
dengan penyokong serta rakyat keseluruhannya. Mereka takut apabila
ruang komunikasi antara parti BA dengan orang ramai terbuka luas, apa
yang berlaku di Terengganu dan Kelantan serta di beberapa buah negeri
lagi merebak ke seluruh negara. Harakah yang menjadi lidah penyambung
PAS dengan rakyat telah dikongkong dengan amat kejam sekali. Permit
berceramah pula telah dihadkan dengan begitu tegas sekali oleh pihak
berkuasa.
-
Pihak BA telah mengadakan pertemuan dengan pihak tertinggi Polis sebelum
ini bagi mendapatkan kerjasama daripada pihak keselamatan. Berbagai
syarat yang dikenakan telah dipatuhi oleh penganjur-penganjur ceramah
di seluruh negara. Belum ada satu pun peristiwa dimana sesi ceramah
yang dianjurkan oleh BA bertukar ganas atau menimbulkan gangguan ke
atas ketenteraman awam. Tidak ada sebarang alasan konkrit yang boleh
digunakan oleh pihak berkuasa untuk menolak berbagai permohonan BA
selain isu bahawa pilihanraya telah tamat.
-
Ceramah BA bukan semestinya ceramah pilihanraya. Oleh itu ceramah BA
tidak terikat dengan bila pilihanraya akan diadakan. BA juga
menyediakan petugas yang ramai bagi mengawal keselamatan dan lalu
lintas, malah banyak membantu pasukan polis yang turut hadir dalam
ceramah-ceramah BA. Jadi apabila polis meminta surat kebenaran pihak
berkuasa tempatan bagi kegunaan padang awam, selain kebenaran tuan
rumah, meminta geran tanah lapang yang akan dijadikan tempat ceramah,
menghadkan penceramah kepada beberapa nama penceramah tertentu,
membuat penyiasatan yang bukan-bukan terhadap tuan rumah serta
penganjur, membatalkan permit di saat-saat akhir setelah semua
persiapan dibuat, semuanya ini adalah langkah-langkah yang menyusahkan
kami serta menimbulkan kemarahan para petugas dan penyokong kami.
-
Setakat
ini, pihak BA banyak berkompromi dan bersabar dalam menghadapi
halangan-halangan ini. Tapi kami mula dihujani persoalan dan rasa tidak
puas hati dari ahli dan penyokong seluruh negara. Rakyat membangkitkan
soal keadilan dalam melayani parti pembangkang. Kami masih mampu memujuk
mereka dengan harapan keadaan akan berubah dan kebebasan bersuara ini
dipulihkan. Namun tiada isyarat-isyarat positif yang kita perolehi
daripada pihak berkuasa.
-
Dalam
era teknologi maklumat ini, adalah tidak munasabah kebebasan bersuara
dihadkan sehingga menjejaskan daya intelek manusia dalam persaingan
untuk memperolehi maklumat mengikut cara yang dirasakan paling berkesan.
Rakyat yang patuh kepada undang-undang tidak akan menyalahgunakan
kemudahan ini, sementara bagi penyeleweng, undang-undang yang sedia ada
mencukupi untuk menanganinya.
-
Pembangunan
sektor media cetak juga harus mengikuti perkembangan semasa. Halangan
yang dikenakan dewasa ini terhadap beberapa akhbar seperti Harakah,
Eksklusif, Majalah Detik dan lain-lainnya adalah langkah mundur yang
meletakkan Malaysia jauh terkebelakang dalam senarai negara yang
mempunyai kebebasan akhbar. Malah pemimpin negara kita masih tersenarai
di kalangan pemimpin yang memusuhi akhbar. Negara sepatutnya membina
suasana pertumbuhan akhbar yang mandiri, kompetitif dan berkualiti.
Orang akan mentertawakan kita yang ghairah dengan membuka koridor raya
multi-medianya sedangkan media tradisinya sendiri dikongkong.
-
Bagi
berlaku adil kepada rakyat dan bagi memulihkan semula hak asasi rakyat
untuk bersuara, serta bagi mengembalikan semula imej Malaysia di mata
dunia yang tercacat akibat tindakan zalimnya selama ini, kami memohon
supaya:
-
Kekerapan
Harakah dikembalikan kepada 2 kali seminggu dengan memberikan semula
permit penerbitannya seperti dulu oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Segala syarat seperti dahulu tetap akan dipatuhi dan pihak penerbit
bersedia untuk ditegur atas sebarang kekurangannya. Jika berlaku
perkara yang dikatakan melanggar undang-undang, pengurusan Harakah
sedia dibawa ke muka pengadilan dan biarkan mahkamah membuat penentuan,
seperti dalam kes yang berlaku ke atas ketua editor Harakah yang
didakwa di bawah Akta Hasutan.
-
Pihak
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menimbang dan meluluskan permohonan PAS
untuk menerbitkan akhbar harian PURNAMA dengan terma dan syarat
yang sama seperti dikenakan kepada lain-lain akhbar harian.
-
Pihak
berkuasa memberikan permit kepada semua permohonan untuk mengadakan
ceramah yang melengkapi semua syarat biasa, tanpa mengenakan
syarat-syarat yang tidak munasabah. Campur tangan pihak parti BN
membantah penganjuran ceramah oleh BA tidak harus dilayan samasekali
oleh pihak berkuasa. Kami mengharapkan suasana di mana pihak berkuasa
berkecuali dalam menghadapi persaingan di kalangan parti politik di
Malaysia.
-
Meminta
kerjasama kerajaan memastikan liputan akhbar harian dan media
elektronik kerajaan atau swasta tidak memberikan laporan berat sebelah
yang memusuhi pihak Barisan Alternatif. Disamping itu media kerajaan
tidak dimonopoli parti pemerintah dalam memberikan laporan khusus
untuk parti pemerintah dengan menggunakan peruntukan wang kerajaan
yang datang daripada rakyat.
-
Jika
keadaan tidak dipulihkan kepada tahap yang lebih demokratik, kerjasama
pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) akan diperolehi,
dan ini tentunya bukan publisiti yang baik bagi Kerajaan Barisan
Nasional
Sekian.
Terima kasih.
DATO’ HAJI FADZIL MOHD. NOOR
AHLI PARLIMEN PENDANG.
|